Tertuduh, Muhammad Azwa Mohd. Rusli, 26, dan Muhammad Maliki Kamaludin, 21, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mereka didakwa melarikan seorang remaja lelaki berusia 18 tahun di sebuah kafe di Jalan Sri Cemerlang, di sini, dengan tujuan supaya membayar RM6,000 untuk dilepaskan pada pukul 8.20 pagi, 16 Julai lalu.

Pertuduhan dijalankan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Sekayen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan boleh juga didenda.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazlinawati Mohd. Arshad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 

Norazlinawati tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh.

Mahkamah kemudian membenarkan permohonan tersebut sebelum menetapkan tarikh 5 September depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, ahli keluarga kedua-dua tertuduh bertindak memarahi petugas media yang merakamkan gambar selepas prosiding tersebut. - K! ONLINE