Dalam kejadian pada pukul 11 malam itu, dua lelaki yang berusia antara 20 dan 26 tahun yang juga penagih dadah itu mengalami luka ringan kerana dipukul oleh penduduk akibat cuba melarikan diri.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shaafa’aton Abu Bakar berkata, pihak polis dimaklumkan berkenaan kejadian tersebut oleh penduduk sekitar yang telah menangkap dua lelaki tersebut ketika mereka cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan itu.

“Suspek berjaya dicekup ketika cuba melarikan diri.

“Semakan terhadap kedua-duanya mendapati mereka mempunyai 18 rekod jenayah yang terdiri daripada enam rekod berkaitan dadah dan 12 kes jenayah termasuk pecah rumah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shafa’aton menambah, salah seorang suspek juga didapati terlibat dalam satu kes pecah rumah di Lorong Melati, Kampung Damai, Kuang di sini pada 2 Januari lalu yang membabitkan kerugian bernilai RM5000.

“Kedua-dua suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga Jumaat ini.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah,” ujarnya.

Terdahulu, tular tiga video pendek di laman media sosial Facebook yang menunjukkan dua lelaki dicekup oleh orang awam ketika cuba memecah masuk sebuah rumah di kawasan tersebut. Mereka cedera ringan akibat pergelutan dengan penduduk sekitar sebelum berjaya diikat dan diserahkan kepada pihak polis. - K! ONLINE