Timbalan Pengarah Operasinya, Abd. Ramli Izauyahhudin berkata, tangkapan dua lelaki berusia 40 dan 70 tahun itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 pagi hasil aduan orang awam dan risikan JPNK negeri.

"Dua lelaki berusia 40 dan 70 tahun ini ditahan ketika kerja-kerja menebang pokok, membersihkan hutan serta meratakan tanah secara haram sedang giat dilakukan di kompartmen lima hutan simpan tersebut.

"Dalam penahanan itu, kita turut menyita sebuah jentera excavator jenis Sumitomo yang digunakan bagi menjalankan aktiviti berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, siasatan awal mendapati suspek berusia 70 tahun dipercayai mengupah seorang lagi suspek untuk membersihkan kawasan hutan simpan tersebut sejak seminggu lalu untuk mendirikan rumah.

"Kawasan yang diceroboh seluas 0.3 hektar dan kerugian akibat aktiviti tersebut termasuk penebangan pokok mengkundur dan mempening dianggarkan RM50,000," ujarnya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 81(1)(b) Akta Perhutanan Negara 1985 kerana menebang pokok yang sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.

"Suspek juga disiasat mengikut Seksyen 81(1)(g) akta sama kerana menceroboh hutan simpan kekal yang boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

"Siasatan turut dilakukan di bawah Seksyen 47(1) akta sama kerana memasuki hutan tertutup tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali serta Seksyen 50 (1) akta sama kerana menggunakan kenderaan bermotor di dalam jalan hutan yang sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM10,000," katanya. - K! ONLINE