Sewaktu ditahan pada pukul 1 pagi, penganggur warga tempatan berusia 45 tahun dan adik iparnya berusia 14 tahun itu dipercayai baru kurang seminggu berjinak-jinak dalam aktiviti pengedaran dadah terbabit.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata,  sewaktu ditahan, lelaki terbabit dan adik iparnya yang disyaki pendatang asing tanpa izin terbabit dipercayai sedang menunggu pelanggan di dalam sebuah kereta jenis Mazda pada pukul 1 pagi.

"Pemeriksaan di dalam kereta itu berjaya menemui 17 botol plastik yang mengandungi serbuk disyaki dadah jenis heroin.

"Susulan penangkapan tersebut, pasukan polis telah menyerbu rumah kedua-dua suspek di Kampung Balai Maras di sini dan telah menemui 13 lagi botol plastik yang dipercayai mengandungi dadah jenis sama," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen Terengganu di sini hari ini.

Allaudeen berkata, nilai semua rampasan serbuk yang dipercayai dadah jenis heroin seberat kira-kira 189.15 gram berkenaan dianggarkan berjumlah RM12,400. - K! ONLINE