Kejadian tersebut turut mengakibatkan seorang pengawal keselamatan warga Nepal melecur pada tangan dan belakang badan.

Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Roslan Bek Ahmad berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 4.35 pagi sewaktu tiga orang pengawal keselamatan termasuk mangsa sedang berada di dalam pondok berkenaan.

"Dua lelaki kemudiannya menghampiri pondok pengawal berkenaan dan membaling bom petrol (molotov cocktail) ke arah pondok itu sebelum beredar.

"Tindakan dua lelaki berkenaan mengakibatkan pondok tersebut dijilat api namun ia kemudiannya berjaya dipadamkan oleh pengawal keselamatan yang bertugas," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Roslan Bek, mangsa yang cedera telah diberikan rawatan awal dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan selanjutnya. 

"Polis Kuala Lumpur meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini untuk segera menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Shahrizal Salleh di talian 017-713 4705, Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd. Nazril Haizar Abd. Wahab di talian 018-406 6009 dan Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. 

"Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api atau bahan letupan," tegas beliau. - K! ONLINE