Beliau berkata dua projek naik taraf tersebut adalah daripada 14 projek transformasi terowong laluan motosikal Lebuhraya Persekutuan yang akan dilaksanakan untuk keselesaan penunggang motosikal.

"Projek rintis itu adalah terowong motosikal Sungai Way menghala ke Kuala Lumpur yang telah melalui proses penambahbaikan dengan pembinaan jejambat.

"Pelaksanaan transformasi untuk 11 lagi terowong lain akan dilaksanakan secara berperingkat bergantung kepada peruntukan untuk tujuan tersebut," katanya kepada pemberita selepas diberi taklimat berhubung projek rintis tersebut dan meninjau terowong yang telah dinaik taraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata program transformasi tersebut bertujuan untuk memastikan keselamatan penunggang motosikal di laluan berkenaan.

Baru Bian berkata bagi projek rintis itu, jejambat yang dibina di persimpangan Lebuhraya Persekutuan dan Jalan 222, Petaling Jaya adalah sebagai laluan alternatif ke terowong motosikal Sungai Way yang tidak berfungsi ketika dilanda banjir kilat.

"Ini juga merupakan sebahagian daripada projek menaik taraf  8.1km  laluan motosikal dan perparitan yang bermula dari Kelab Golf Negeri Selangor, SS7 menuju ke gerbang Kota Darul Ehsan  yang menandakan persempadanan negeri (Selangor) dengan Kuala Lumpur," katanya. - Bernama