Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Ramli Kasa berkata, kedua-dua suspek berjaya ditahan hasil soal siasat polis ke atas suspek pertama yang diberkas di lokasi kejadian semalam.

"Suspek kedua iaitu seorang lelaki berusia 55 tahun yang mempunyai tiga rekod lampau jenayah kekerasan ditahan kira-kira pukul 12.15 pagi ini di Taman Bintang Gemas Baru, Johor.

"Suspek ketiga juga seorang lelaki berusia 37 tahun yang memiliki lima rekod lampau berkaitan jenayah kekerasan ditahan kira-kira pukul 2.30 pagi di sebuah hotel di Melaka," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Ramli berkata, polis merampas sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang dilaporkan hilang di Tangkak, Johor dan dipercayai digunakan oleh suspek terlibat untuk melakukan kegiatan jenayah.

Semalam Kosmo! melaporkan dua lelaki bermotosikal gagal menyamun wang tunai sebanyak RM43,000 daripada seorang pengurus stesen minyak berusia 65 tahun di hadapan sebuah bank di Gemas dekat sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah hari itu, salah seorang suspek berjaya diberkas oleh orang ramai, manakala seorang lagi suspek sempat melarikan diri dari lokasi kejadian.

Semasa kejadian, pengurus stesen minyak itu mahu mendepositkan wang RM43,000 hasil jualan stesen minyak di bank berkenaan dan kes disiasat dibawah Seksyen 395/393 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE