Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), jumlah sekolah ditutup meningkat kepada tujuh buah hari ini berbanding lima sekolah semalam.

Dua sekolah yang ditutup hari ini ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Genaan dan SK Bukit Balai, kedua-duanya di daerah Sebauh, Bintulu.

"Lima sekolah masih ditutup sejak Isnin lepas dengan sekolah paling banyak ditutup di Miri melibatkan tiga sekolah iaitu SK Sungai Bong, SK Kuala Bok dan SK Rumah Ranggong, selain SK Kuala Kenyana, Mukah dan SK Nanga Bon di Sibu," kata jawatankuasa itu dalam kenyataan hari ini.

Menurut JPBNS, 16 sekolah rendah iaitu 10 di Miri, lima di Sibu dan sebuah di Bintulu turut terjejas akibat banjir hari ini tetapi masih beroperasi seperti biasa. - Bernama