Beliau berkata satu daripadanya adalah hospital kerajaan yang mungkin  ditempatkan di Nilai berikutan pembangunan pesat di bandar itu.

Katanya kerajaan negeri sedang berunding dengan pihak berkenaan bagi menentukan sama ada hospital itu diuruskan di bawah Kementerian Kesihatan atau Universiti  Sains Islam Malaysia (USIM).

"Tetapi,  saya berpandangan supaya hospital ini diurus di bawah USIM kerana kepakarannya sudah ada termasuk mempunyai fakulti perubatan dan pergigian. Pelajar perubatan USIM juga menjalani latihan klinikal mereka di Hospital Ampang, Selangor; Hospital Tampin, Negeri Sembilan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh, Pahang.

"Oleh itu, USIM perlu ada sebuah hospital sendiri untuk memberikan perkhidmatan kepakaran kesihatan kepada orang ramai," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Kesihatan Wanita Negeri Sembilan 2018 anjuran Pusat Perubatan NSCMH di sini, hari ini. 

Mohamad juga berkata bahawa sebuah hospital swasta akan dibangunkan di Sendayan oleh pemaju Bandar Sri Sendayan, Matrix Concepts Holdings Bhd.

"Saya difahamkan bahawa Kementerian Kesihatan meluluskan pembinaan hospital itu yang mempunyai lebih 400 katil. Kita memang mengalu-alukan pembinaan hospital swasta ini kerana pembangunan di negeri ini amat pesat dengan penduduk di Sendayan akan mencecah lebih 10,000 orang," katanya.

"Matrix Concepts Holdings Bhd sedang  berunding dengan pihak yang akan menguruskan hospital tersebut," katanya sambil memberitahu bahawa bahawa Hospital Tuanku Jaafar di Seremban juga tidak mampu menampung  pesakit yang ramai.

Terdahulu dalam upacannya, Mohamad menyuarakan rasa bimbangnya terhadap sikap masyarakat negeri ini yang tidak mengambil berat tentang kesihatan mereka serta kemudahan perubatan yang disediakan kerajaan.

Kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan banyak menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti mengesan kanser payu dara dan kanser pangkal rahim tetapi  masih ramai yang tidak tahu mengenainya.

"Saya menasihatkan penduduk negeri ini supaya menjadikan amalan membuat pemeriksaan kesihatan sebagai sebahagian daripada budaya kehidupan kita...kesihatan menjadi masalah kerana amalan dan gaya hidup kita seperti menghisap rokok, minuman beralkohol, obesiti, diet dan tidak bersenam," katanya. - Bernama