Ketua Divisyen Komunikasi Korporat LZS, Datin Norajun Ainun Mohd. Hashim berkata, bantuan kecemasan sebanyak RM400 telah disalurkan kepada kedua-dua keluarga tersebut selepas pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian tersebut.

Beliau berkata, meskipun Pondok Penyayang Raudah bukan di bawah pengurusan LZS, namun keluarga terbabit adalah asnaf yang berdaftar dengan LZS dan menyewa di kawasan terbabit.

"Buat masa ini, kedua-dua keluarga bersama mangsa lain ditempatkan di Dewan Serbaguna Orang Asli Batu 12. 

"Pihak LZS akan terus melaksanakan pemantauan terhadap keluarga ini dan bantuan zakat lain akan disalurkan berdasarkan kepada keperluan mereka termasuklah keperluan rumah sewa bergantung kepada syarat dan kelayakan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Kosmo! hari ini melaporkan, ribut berpusar beserta hujan lebat hampir setengah jam telah menyebabkan beberapa batang pokok tumbang dan menghem­pap lapan buah rumah di Batu 11, Jalan Gombak di sini kelmarin.

Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 5 petang itu turut meng­akibatkan sekurang-kurangnya lapan in­dividu termasuk lima kanak-kanak daripada Pondok Penya­yang Raudhah di sini ce­dera dan kini menerima rawatan di Hospital Selayang, Hospital Orang Asli Gombak dan Hospital Kuala Lumpur.

Seramai 52 individu daripada 15 buah keluarga kini ditempatkan di Dewan Orang Asli, Batu 12 di sini susulan kejadian ribut yang mengakibatkan lapan buah rumah musnah sepenuh­nya manakala kira-kira 100 buah lagi mengalami kerosakan. - K! ONLINE