Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, dua kejadian tahan runtuh tersebut berlaku dipercayai disebabkan hujan lebat yang melanda daerah tersebut sejak malam tadi dan reda pada pukul 10 pagi tadi.

“Polis menerima maklumat mengenai kejadian pertama yang berlaku pada pukul 6 pagi di kawasan kebun di Jalan Ulu Merah.

“Tanah runtuh yang berlaku kira-kira 15 meter dari atas jalan itu melibatkan keluasan 10 meter dan semua kenderaan terhalang daripada melalui laluan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Tambah Ashari, kejadian tanah runtuh kedua pula berlaku di Jalan Ringlet-Blue Valley berhampiran kuari batu pada pukul 9.30 pagi.

“Kawasan terjejas seluas 32 meter disebabkan hakisan tanah runtuh yang berlaku di kawasan berkenaan.

“Kerja-kerja pembersihan kini sedang dijalankan Jabatan Kerja Raya (JKR) di kedua-dua kawasan yang terlibat,” katanya.

Katanya, tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan di dua lokasi tersebut.

“Dua-dua laluan berkenaan telah ditutup kepada semua kenderaan. Bagaimanapun salah satu daripada laluan tersebut telah dibuka satu lorong.

“Dua laluan tersebut tidak mempunyai jalan alternatif lain dan pihak berkuasa sedang giat melakukan kerja-kerja pembersihan,” katanya. - K! ONLINE