Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, lif yang dinaiki kedua-dua wanita yang berusia lingkungan 40-an itu tersekat di tingkat sembilan daripada 22 tingkat di bangunan yang berusia 33 tahun itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petaling Jaya, Mohd. Hafiz Mat Dali berkata, bomba menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat mangsa terkandas di dalam lif di bangunan berkenaan pada pukul 8.37 pagi.

“Seramai tujuh anggota dari BBP Petaling Jaya bersama sebuah jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan kami mengambil masa kira-kira dua minit untuk sampai kerana jarak dari balai ke bangunan tersebut sejauh 1.5 kilometer.

“Setibanya di lokasi, kami membuat pemantauan (size-up) dan mendapati terdapat dua kakitangan MBPJ terperangkap di dalam lif tersebut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Mohd. Hafiz menambah, bomba kemudiannya membuka pintu lif tersebut menggunakan kunci khas sebelum mengeluarkan dua wanita tersebut pada pukul 8.50 pagi.

“Kedua-duanya tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah meneruskan kegiatan harian mereka seperti biasa.

“Bomba kemudiannya melakukan pemeriksaan di lif itu bagi memastikan tiada lagi mangsa yang terperangkap dan seterusnya diserahkan kepada pihak penyelenggaraan bangunan bagi tindakan selanjutnya,” ujarnya. - K! ONLINE