Salah seorang anggota APM terlibat, Koperal Muhammad Zulfikar Mohd. Fizi berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kampung pada pukul 10.15 pagi sebelum bergegas ke tempat kejadian.

“Ular sawa betina sepanjang enam meter tersebut ditemui penduduk kampung ketika menebas di dalam semak di kebun getah.

“Anggota berjalan kaki sejauh 500 meter selama 15 minit untuk ke lokasi tersebut. Tiba di lokasi, anggota mendapati reptilia tersebut berada dalam keadaan melingkar kerana sedang bersalin kulit,” katanya ketika dihubungi sebentar tadi.

Tambah Muhammad Zulfikar, anggota menyangka haiwan tersebut bersaiz kecil namun ternyata saiznya sangat besar dan anggota terpaksa menggunakan dua penjerut untuk membawanya keluar dari semak.

“Ular itu bertindak agresif pada awalnya dan kesemua anggota terpaksa berusaha dengan kuat untuk menangkapnya.

“Proses membawanya pula mengambil masa dua jam apabila haiwan tersebut sangat berat dan kami terpaksa berhenti seketika sebelum meneruskan usaha membawa keluar ular berkenaan,” katanya.

Katanya, reptilia berkenaan dibawa ke pejabat APM terlebih dahulu untuk proses dokumentasi sebelum ia diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Gerik pada pukul 3 petang tadi. - K! ONLINE