Dalam kejadian kira-kira pukul 7.05 pagi itu, dua guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Lepar Utara, Nurul Jannah Samsuddin, 30 dan Norhayati Abd Manaf, 38, bagaimanapun tidak mengalami kecederaan.

Nurul Jannah yang memandu Perodua Myvi berkata, keretanya dilanggar oleh Nissan Almera yang dipandu oleh Norhayati ketika mengelak pokok tumbang di atas jalan raya.

“Kami berdua datang dari arah Felda Kota Gelanggi 2 menghala ke Felda Lepar Utara dan kereta saya berada di hadapan pada ketika itu.

“Saya sudah nampak pokok tumbang yang menghalang laluan dari arah Felda Lepar Utara namun pada masa yang sama ada serpihan kayu pada laluan saya,” katanya kepada Kosmo! Online.

Menurutnya, dia pada mulanya mengelak serpihan kayu menyebabkan keretanya berada di laluan bertentangan sebelum masuk semula ke laluan asal.

“Ketika saya hendak masuk ke kiri semula, tiba-tiba bahagian belakang kereta dilanggar oleh Nissan Almera terbabit menyebabkan kereta saya terbabas ke dalam longkang di bahu jalan,” ujarnya.

Dia memberitahu, Norhayati kemungkinan berada pada jarak dekat di belakang keretanya ketika dia brek untuk masuk ke kiri menyebabkan dia tidak sempat mengelak dan berlaku perlanggaran tersebut.

“Alhamdulillah kami semua selamat namun kereta mengalami kerosakan,” jelasnya.

Difahamkan, pokok berkenaan dipercayai tumbang ekoran hujan lebat beserta ribut yang melanda daerah ini malam tadi dan dua lagi kejadian pokok tumbang turut berlaku di Jalan Jerantut-Felda Padang Piol dan Jalan Jerantut-Benta. - K! ONLINE