Dua perkara berkenaan ialah mengekalkan modal pelaburan dan tidak mengeluarkan dividen tahunan yang anda terima sekiranya tiada keperluan.

Amalan melabur secara konsisten dan tidak mengeluarkan dividen merupakan asas kepada konsep kuasa faedah kompaun.

Apa itu kuasa faedah kompaun? Kuasa faedah kompaun adalah satu konsep di mana pelabur bukan saja menerima dividen dari modal pelaburan, tetapi juga dari dividen yang dikumpul dari tahun ke tahun.

Dividen merupakan pulangan yang diterima oleh pelabur hasil daripada pelaburan mereka. Apabila dividen ini tidak dikeluarkan, ia menambah kepada modal pelaburan dan dari tahun ke tahun, ia akan terus mengembangkan modal pelaburan walau anda tidak menambah wang anda.

Sebagai contoh, katakan anda melabur sebanyak RM10,000 selama 10 tahun dan sepanjang tempoh itu anda menerima purata dividen tahunan sebanyak 6 peratus, modal pelaburan anda akan berkembang kepada kira-kira RM17,908.

Jumlah itu bagaimanapun hanya boleh anda peroleh jika anda tidak mengeluarkan modal pelaburan dan dividen yang diterima sepanjang tempoh 10 tahun itu.

Katakan dengan andaian yang sama, tetapi kali ini, anda membuat pelaburan tambahan RM100 setiap bulan. Tahukah anda berapa pula jumlah pelaburan terkumpul kali ini selepas 10 tahun? Jumlahnya ialah RM34,155.

Jadi, apakah sebenarnya rahsia membina kewangan kukuh? Tidak sukar bukan? Secara asasnya anda hanya perlu mela­bur secara konsisten dan tidak menge­luarkan modal pelaburan dan dividen yang diterima.

Jadi mulakan strategi pelaburan anda dengan menetapkan matlamat dan tempoh pelaburan dan sepanjang tempoh pelaburan yang ditetapkan itu, pastikan anda melabur secara konsisten dan tidak mengeluarkan modal dan dividen yang diterima.