Tindakan mematikan kedua-dua ekor buaya jantan dan betina itu terpaksa dilaksanakan demi menjaga habitat buaya sedia ada di kawasan hidupan liar.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Hidupan Liar Sabah, Siti Nur'Ain Ampuan Acheh berkata, buaya merupakan reptilia yang bersifat teritorial sehingga menyukarkan usaha jabatan terbabit melepaskan kedua-dua haiwan berkenaan.

"Sukar untuk kita melepaskan kedua-dua ekor buaya ini di lokasi habitat baharu kerana ia bersifat teritorial.

"Tindakan melepaskan ke habitat baharu akan menimbulkan konflik dengan buaya sedia ada di habitat berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Euthanasia adalah sejenis suntikan bertujuan mematikan hidupan secara sengaja tanpa menyiksa hidupan berkenaan.

Sementara teritorial pula sifat perlindungan terhadap sesebuah kawasan sehingga menganggap kedatangan haiwan baharu sebagai musuh.

Terdahulu, kedua-dua ekor buaya itu ditangkap pada 26 dan 29 Julai lalu sepatutnya dilelong kepada awam pada esok hari.

Bagaimanapun, acara lelong itu terpaksa dibatalkan kerana masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan. - K! ONLINE