Dua lagi tertuduh dijatuhi hukuman denda sebanyak RM10,000 selepas mahkamah mendapati mereka telah menolong menghapuskan harta iaitu seutas kalung emas dan sebuah peti besi milik seorang wanita.

Keputusan itu diputuskan oleh Majistret Nur Faizah Muhamad Saleh selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pendakwaan terhadap keempat-empat tertuduh iaitu M. Vickneswaran, 26, R. Siva Nesan, 24, R. Muraly, 43, dan K.Devaraj, 26.

Mengikut kertas pertuduhan, Vickneswaran dan Devaraj didakwa secara bersama-sama telah memecah masuk sebuah rumah di Mambang Diawan di sini dengan memasuki bangunan kepunyaan Leong Wei Hai,36, dan mencuri sebuah peti besi yang mengandungi emas.

Perbuatan tersebut dilakukan oleh mereka kira-kira pukul 3.30 petang pada 7 Januari hingga 7.45 pagi 8 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebatan jika sabit kesalahan.

Nur Faizah memutuskan kedua-dua tertuduh dipenjara selama 46 bulan bermula hari ini dan masing-masing perlu membayar kos pendakwaan sebanyak RM500 selain penjara selama dua bulan sekiranya gagal membayar wang tersebut.

Sementara itu, Muraly didakwa atas satu pertuduhan pindaan dengan sengaja menolong menghapuskan harta iaitu seutas kalung emas seberat 4.44 gram yang merupakan harta curi.

Perbuatan itu dilakukan olehnya kira-kira pukul 1.24 petang di sebuah kedai pajak di Jalan Idris di sini pada 18 Januari tahun lalu.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Siva Nesan didakwa atas satu pertuduhan pindaan dengan sengaja menolong menghapuskan harta iaitu sebuah peti besi milik Goh Sau Foong,61, yang merupakan harta curi.

Kesalahan itu dilakukan oleh Siva Nesan kira-kira pukul 7.45 pagi pada 8 Januari hingga pukul 11.45 pagi 3 Mac tahun lalu di kolam ikan di Air Kuning dekat Tapah .

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Nur Faizah menetapkan denda RM10,000 terhadap Muraly dan Siva Nesan dan penjara tiga tahun sekiranya gagal membayar denda yang ditetapkan. - K! ONLINE