Majistret Aida Khairuleen Azli membenarkan kedua-dua individu itu dibebaskan dengan  jaminan sebanyak RM200,000.

Suspek pertama yang merupakan Pengarah Eksekutif Kanan Konsortium Zenith Construction Sdn. Bhd., 59, sebelum ini direman selama 11 hari bermula 10 Januari lalu di Mahkamah Majistret di sini.

Manakala suspek kedua berusia 50 tahun dan merupakan timbalan pengerusi sebuah syarikat hartanah turut direman 11 hari bagi membantu siasatan.

Kedua-dua lelaki bergelar 'Datuk' itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Suspek pertama ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini pada 9 Januari lalu manakala suspek kedua 
ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Pulau Pinang pada hari yang sama.

Penahanan mereka dibuat susulan daripada serbuan SPRM ke beberapa pejabat agensi kerajaan di Kompleks Tun Abdu Razak (Komtar) pada 9 Januari lalu berhubung siasatan projek pembinaan terowong dasar laut.

Turut diserbu dalam operasi itu adalah beberapa syarikat berkaitan yang beroperasi di sekitar Pulau Pinang. - K! ONLINE