Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, dua lelaki iaitu pelancong tempatan dan seorang pemandu bot sebuah syarikat pelancongan cedera ringan dan menerima rawatan di Hospital Sultanah Maliha di sini.

Individu lain yang terlibat sama disyaki terdiri daripada ahli keluarga pelancong tersebut dan kakitangan syarikat pelancongan di jeti berkenaan tidak cedera.

Video pergaduhan berdurasi kira-kira enam minit tular di media sosial sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintendan Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pergaduhan dikatakan tercetus selepas pelancong lelaki berusia 24 tahun dimarahi seorang pekerja kaunter kerana tidak mengambil pakej island hopping dengan sebuah syarikat di situ.

"Seorang pekerja kaunter wanita marah dengan tindakan lelaki terbabit yang tidak mahu mengambil pakej ditawarkan kerana harga lebih tinggi daripada syarikat lain selain bot disediakan tidak mencukupi.

"Perselisihan faham seterusnya mencetuskan insiden tumbuk-menumbuk antara pelanggan dengan pekerja syarikat pelancongan di jeti tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, kejadian itu mengakibatkan pelanggan berkenaan dan seorang pemandu bot berusia 24 tahun cedera ringan.

"Pelanggan mengalami kecederaan lebam pada hidung manakala pemandu bot bengkak dan luka pada dahi," ujarnya.

Menurut Mohd. Iqbal, keadaan menjadi tegang apabila ada yang mahu menggunakan kayu dalam pergaduhan tersebut.

"Bagaimanapun, tiada senjata berbahaya digunakan dalam kejadian itu," katanya.

Susulan itu, kata beliau, pihaknya menahan lima suspek termasuk seorang wanita berusia antara 24 hingga 50 tahun yang disyaki terlibat dalam pergaduhan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan," tambahnya. - K! ONLINE