Pengerusi Jawatankuasa Bantahan, Rayuan dan Disiplin PKR, Dr. Syed Hussin Ali berkata, tindakan lebih tegas akan dikenakan terhadap kedua-duanya jika mereka mengulangi kesalahan itu selepas ini.

"Kita beri surat amaran kerana mereka melakukan kesalahan itu sebelum tempoh rasmi berkempen yang bermula hari ini, namun jika mereka ulangi lagi dalam tempoh rasmi berkempen ini kita akan ambil tindakan," katanya pada sidang akhbar selepas sesi cabutan nombor calon yang bertanding dalam pemilihan PKR 2018 di ibu pejabat parti itu di sini hari ini.

Syed Husin bagaimanapun enggan mendedahkan nama kedua-dua calon berkenaan dan memberi  amaran sama kepada semua calon lain yang bertanding agar tidak melakukan kesalahan itu.

Beliau berkata, pihaknya menerima 25 bantahan terhadap calon yang bertanding dalam pemilihan kali ini dengan 24 daripada bantahan untuk calon-calon yang bertanding di peringkat negeri iaitu Terengganu dan Kelantan, manakala satu bantahan untuk calon yang bertanding di peringkat pusat. - Bernama