Dalam kejadian pada pukul 5.30 petang itu, Nuradawiah Salihudin, 26, yang merupakan penyelia tapak di sebuah syarikat pembinaan di Kota Tinggi, Johor dan ibunya Rahemah Daud, 61, maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan beberapa anggota badan.

Pemandu kereta Perodua Myvi berkenaan, Samsul Fajeri Sudarman, 23, yang juga sepupu Nuradawiah dan ibunya, Rohani Daud, 54, pula masing-masing cedera parah akibat kemalangan itu.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd. Said Ibrahim berkata, sewaktu kejadian, kesemua mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah Samsul Fajeri di Gambang, Kuantan, Pahang dari Dungun.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Myvi dinaiki mereka dikatakan cuba memotong sebuah lori membawa muatan kayu getah yang sedang bergerak perlahan namun gagal dan merempuh bahagian kanan belakang kenderaan tersebut.

"Rempuhan itu menyebabkan kereta terbabit remuk teruk sehingga menyebabkan keempat-empat mangsa tersepit di dalam kenderaan berkenaan," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini. - K! ONLINE