Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada penduduk sekitar memaklumkan tentang aktiviti mencurigakan apabila sering terlihat lori dengan muatan tong gas memasuki rumah teres berkenaan.

“Setelah melakukan risikan selama kira-kira dua minggu, satu serbuan telah dilakukan oleh KPDNHEP cawangan Kajang ke atas rumah teres berkenaan yang didiami oleh dua lelaki tempatan berusia 20-an serta 50-an itu.

“Sebaik menyedari kehadiran anggota KPDNHEP, pemilik rumah berkenaan bertindak melepaskan sebanyak enam ekor anjing belaannya bagi mengelakkan premis tersebut dimasuki dan diperiksa sekaligus memaksa anggota bertugas menghubungi pihak polis bagi mendapatkan bantuan,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut Muhamad Zikril, pemeriksaan di rumah teres satu tingkat itu seterusnya menemui sebanyak 132 tong gas LPG bersubsidi bernilai lebih kurang RM13,992 disimpan di perkarangan rumah tersebut.

“Kami dapati, modus operandi kedua lelaki berkenaan adalah mengurangkan isipadu gas LPG daripada tong gas yang diambil dari pengedar dan dipindahkan ke tong gas yang kosong sebelum ia dijual kepada pengguna dengan harga pasaran semasa.

“Tong-tong gas yang telah dikurangkan isipadunya itu seterusnya akan dijual kepada kedai-kedai serta pengusaha-pengusaha restoran di sekitar Kajang dan Serdang,” jelas beliau.

Jelas Muhamad Zikril, selain menyimpan tong-tong gas di kawasan perumahan persendirian, kedua-dua lelaki berkenaan juga didapati tidak memiliki sebarang lesen sah untuk menyimpan tong-tong gas LPG tersebut yang merupakan barangan kawalan.

“Kesemua 132 tong gas LPG yang disimpan di rumah ini seterusnya dirampas termasuk beberapa peralatan yang digunakan oleh mereka untuk memindahkan gas ke tong yang kosong.

“Jika disabitkan kesalahan di bawah  Akta Kawalan Bekalan 1961, kedua-dua mereka boleh didenda sebanyak RM1 juta atau dipenjara selama tiga tahun,” tegas beliau. - K! ONLINE