Dalam kejadian kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu, kedua-dua suspek berusia 18 dan 31 tahun mengamuk selepas permintaan untuk mendapatkan wang tidak diendahkan bapa mereka yang berusia 60 tahun.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ahmad Nasir Jaafar berkata, warga emas terbabit kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Karangan di sini pada hari yang sama.

"Dua beradik yang tidak bekerja itu dikatakan kerap meminta wang daripada ibu bapanya dan mengugut untuk mencederakan mereka jika tidak diberikan wang.

"Serik dengan perbuatan dua anak lelakinya itu selain bimbang berlaku kejadian tidak diingini, warga emas terbabit tampil membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, susulan laporan itu, polis bertindak menahan dua lelaki tersebut di rumah keluarga mereka pada pukul 6 petang kelmarin.

"Kita turut merampas sebilah pisau sepanjang kira-kira 23 sentimeter," ujarnya.

Tambahnya, semakan mendapati suspek berusia 31 tahun memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes curi manakala adiknya tiada rekod lampau.

"Mereka yang disyaki turut terlibat dengan dadah itu ditahan untuk disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah," katanya. - K! ONLINE