Dalam kejadian kira-kira pukul 2.35 petang itu, kedua-dua adik beradik tersebut berjaya diselamatkan oleh anggota bomba yang bergegas ke rumah itu sejurus menerima laporan daripada jiran mangsa.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, S. Dullasi Nathan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada pukul 2.38 petang dan tiba di lokasi kejadian kira-kira empat minit kemudian.

“Api sedang marak membakar ruang tamu rumah apabila kami tiba dan terdapat dua kanak-kanak dalam bilik utama. Kami memotong jerisi besi tingkap bilik itu dari luar untuk menyelamatkan mereka.

“Kami mengambil masa 10 minit untuk mengeluarkan dua beradik itu yang kelihatan hampir lemas kerana terhidu asap. Jika kami terlewat empat minit mereka akan pengsan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini hari ini.

Dullasi Nathan berkata, pihaknya mendapati rumah itu berkunci dari luar dan bomba dimaklumkan oleh jiran mangsa hanya dua beradik tersebut berada di rumah berkenaan semasa kejadian.

Kata beliau, pihak bomba difahamkan bapa kedua-dua kanak-kanak tersebut tiada di rumah kerana keluar bekerja, manakala ibu mereka keluar rumah disebabkan urusan tertentu.

Menurut beliau, kedua-dua beradik itu kemudian dihantar ke hospital terdekat untuk menerima rawatan dan mereka dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Jelas beliau, rumah itu musnah 80 peratus dan seramai 20 pegawai serta anggota Balai Bomba Penyelamat Tampin, Rembau dan Alor Gajah bersama beberapa buah jentera terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran tersebut. - K! ONLINE