Dalam kejadian kira-kira pada pukul 3.30 petang itu, mangsa, Wong Hong Yie, 26, yang memandu kereta jenis Honda Accord dan adiknya, Wong Hong Chuan, 19, mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Adik-beradik mangsa, Wong Hong Yau, 22, dan bapa saudara mereka, Lim Khem Guan, 42, pula masing-masing cedera di kaki dan kepala. 

Ketua Polis Daerah Gerik, Superintendan Ismail Che Isa berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta dipandu mangsa itu sedang dalam perjalanan dari arah Gerik menghala ke Kupang.

“Kereta tersebut dipercayai dipandu dengan laju itu hilang kawalang sebelum masuk ke laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebelah kanan sebuah lori membawa muatan sebuah lori lain yang sedang dalam perjalanan dari Kupang ke Gerik. 

“Akibatnya, pemandu dan penumpang belakang kereta berkenaan maut di tempat kejadian manakala dua lagi lelaki yang menaiki kereta sama mengalami kecederaan parah,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi. 

Tambah Ismail, kedua-dua mayat mangsa dibawa ke Hospital Gerik untuk proses bedah siasat manakala adik-beradiknya yang parah turut dirawat di hospital sama. 

“Bapa saudara mereka pula dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh untuk rawatan lanjut. 

“Pemandu treler berusia 47 tahun itu pula tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya. 

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - K! ONLINE