Ibu berkenaan, Normala Syakila Arman, 21, terpaksa berhenti kerja sejak setahun lalu demi menjaga Muhammad Haraz Asyraf Abdul Hafiz, 1, dan Muhammad Hariz Asyraf berusia 2 bulan yang kedua-duanya mengidap jantung berlubang sejak dilahirkan.

Lebih menyayat hati, Muhammad Hariz turut mengalami bengkak hati dan terpaksa mengambil makanan dan minuman menggunakan tiub.

Normala Syakila berkata, dia kini menetap di rumah ibu bapanya, Arman Isnin, 45, serta Norkumalasari Chik, 40, di Perumahan Kilang Sawit Jengka 8, dekat sini selepas berpisah dengan suaminya.

"Haraz sebelum ini mempunyai tiga lubang pada jantungnya dan dua telah ditutup. Hariz hanya ada satu lubang dan akan membuat rawatan pada 28 Februari ini.

"Saya memerlukan lebih RM1,000 sebulan untuk perbelanjaan makanan dan kos rawatan kedua-dua anak ini," katanya semasa ditemui Kosmo! Online di sini.

Menurutnya, dia kini menerima bantuan zakat RM1,000 namun tidak mencukupi kerana terpaksa ke Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur dan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshah), Temerloh untuk mendapatkan rawatan anaknya.

Dia memberitahu, ibu bapanya juga tidak mampu menampung kos rawatan kedua-dua anaknya kerana menanggung perbelanjaan empat lagi adiknya yang masih bersekolah.

"Saya harap ada pihak sudi membantu bagi membolehkan Haraz dan Hariz menjalani rawatan untuk sembuh dan sihat seperti kanak-kanak lain," katanya.

Orang ramai yang sudi menghulur sumbangan boleh menghubungi Normala di talian 014-2191 292 atau menyalurkan bantuan secara terus melalui akaun Bank Islam 060370-23-296993 atas nama Normala Syakila. - K! ONLINE