Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, kakak dan adik lelakinya, masing-masing berusia 40-an dan 20-an itu ditahan di Kuala Lumpur pada Khamis dan Jumaat lalu oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman.

"Kita berjaya mengesan suspek berkenaan iaitu seorang wanita dan adik lelakinya berdasarkan maklumat nombor pendaftaran kenderaan yang digunakan oleh mereka ketika berurusan di daerah ini.

“Berdasarkan maklumat tersebut, kita telah membuat serbuan di sebuah kediaman di Kuala Lumpur yang dipercayai dijadikan pusat operasi pencetakan wang palsu," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam serbuan itu polis telah merampas sepasang baju kebaya yang dipakai suspek wanita ketika berurusan di beberapa premis di Kemaman selain sebuah mesin pencetak wang serta bahan-bahan pembuatan wang palsu.

Menurut Mohd. Haki, siasatan awal mendapati suspek dikatakan baru sahaja menjalankan aktiviti mencetak wang palsu tersebut dan menjadikan Terengganu sebagai lokasi percubaan sebelum menggunakannya di negeri-negeri lain.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke daerah ini dan masing-masing ditahan reman sehingga 16 Jun dan 18 Jun ini untuk membantu siasatan berhubung kes itu.

Sebelum ini, tular di laman sosial Facebook tentang seorang wanita yang berkebaya hijau menaiki kereta mewah, menggunakan wang kertas RM100 dipercayai palsu untuk berbelanja di gerai-gerai di daerah terbabit pada awal Syawal lalu. - Bernama