Penderitaan dua beradik malang itu disedari bapa mereka, Mohd. Fairuz Baharin Mohd. Noor, 33, selepas melihat kesan luka pada bibir anak sulungnya itu sejurus diserahkan ibu kandungnya pada Khamis lalu.

"Anak sulung saya diambil dan dibawa lari ibunya pada hari raya lalu dipercayai dibawa ke kampung halamannya di Perak bersama teman lelakinya berusia 28 tahun.

"Anak saya mengadu dia disepak, ditendang dan dipukul dengan menggunakan kayu tanpa belas kasihan gara-gara anaknya itu sering menangis mahu pulang kepangkuan saya," katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini hari ini.

Mohd. Fairuz berkata, apabila melihat terdapat kesan luka di badan anaknya, dia tanpa berfikir panjang membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak dekat sini.

Ujar pekerja kilang itu, dia kemudiannya membawa anaknya itu ke HSA semalam bagi pemeriksaan lanjut bagi memastikan tahap kesihatan anaknya.

"Selepas membuat pemeriksaan, doktor memberitahu anak saya terdapat kesan luka dan parut akibat dipercayai dipukul atau dicederakan dengan menggunakan senjata tumpul," katanya.

Mohd. Fairuz yang tinggal di Kampung Serom 5 Hulu, Tangkak berkata, sebelum ini, anak ketiga berusia tiga tahun pernah cedera pada bahagian muka termasuk cedera pada mulut dan mata dipercayai dipukul lelaki yang sama pada Februari lalu. 

Menurutnya, dia sangat berharap agar pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pelaku yang sangup menyeksa kedua-dua anaknya itu.

Mohd. Fairuz telah mendirikan rumah tangga pada tahun 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata berusia enam, lima dan tiga tahun sebelum bercerai dengan ibu kanak-kanak itu pada Februari lalu. - K! ONLINE