Timbalan Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Heisham Harun berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 1 pagi itu, kedua-dua mangsa tersebut sedang menikmati makanan ketika didatangi kira-kira 10 orang lelaki warga tempatan.

“Mereka kemudian memukul kedua-dua lelaki itu dengan menggunakan kerusi dan besi pengunci motosikal.

“Akibat pukulan berkenaan, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka dan tubuh mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Heisham menambah, kedua-duanya telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Selayang.

“Usaha mengesan kesemua suspek yang terlibat sedang dijalankan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian tersebut boleh menyalurkan maklumat ke mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana memiliki senjata dan merusuh.

Terdahulu, video pergaduhan berdurasi 3 minit 18 saat itu tular di laman media sosial.

Video rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) itu menunjukkan mangsa telah diserang oleh beberapa individu yang memakai topi keledar dan menggunakan pelbagai senjata termasuk kerusi milik restoran berkenaan.

Kumpulan terbabit kemudiannya bertindak melarikan diri. - K! ONLINE