Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, ketika dihubungi Bernama News Channel (BNC) berkata, anggota polis berusia 32 dan 45 tahun itu didapati positif dadah jenis amphetamin dan methampetamine.

Beliau berkata serbuan pada jam 2 pagi oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman itu turut menahan tiga lelaki kerana memiliki 16 biji pil ectasy dan enam biji Eramin 5.

Dalam serbuan itu, JIPS juga menyelamatkan tiga wanita Vietnam dan dua wanita Thailand dipercayai pekerja pusat karaoke itu.

Susulan itu, tiga lelaki warga tempatan bertindak sebagai majikan, ejen dan saksi ditahan di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang (ATIP).

Turut ditahan, enam lelaki Myanmar dan tiga wanita Vietnam kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. - Bernama