Program yang bermula kira-kira pukul 12 tengah malam dan berakhir kira-kira pukul 5 pagi itu telah singgah di lapan lokasi antaranya Balai Polis Pandamaran, Balai Bomba dan Penyelamat Pelabuhan Klang serta Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan.

ADUN Pelabuhan Klang, Asmizam Zaman Huri berkata, program tersebut bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan pihaknya bersama dengan anggota keselamatan yang bertugas di kawasan berkenaan.

"Pada program ini kita turut menyerahkan sedikit sumbangan hamper dan makanan sahur kepada anggota keselamatan bagi mereka menikmatinya ketika bersahur nanti.

"Ini adalah sebagai tanda terima kasih pihak kita kepada anggota keselamatan yang telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan khususnya di sekitar Klang Selatan ini aman dan terkawal,"katanya pada sidang akhbar di Balai Trafik Klang Selatan di sini hari ini.

Turut hadir ADUN Pandamaran, Leong Tuck Chee.

Dalam pada itu, Asmizam turut menyeru masyarakat sekitar daerah itu supaya berhati-hati meninggalkan kediaman mereka ketika musim perayaan.

"Bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini saya menyeru masyarakat setempat supaya membuat laporan kepada pihak berkuasa agar mereka boleh melakukan rondaan sekitar kediaman mereka.

"Ini penting kerana kebiasaannya pada musim perayaan seperti ini kadar jenayah seperti kecurian dan pecah masuk kediaman adalah tinggi,"ujarnya. - K! ONLINE