Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, kebanyakan lokasi dan faktor geografi kampung terletak di kawasan pedalaman khususnya di Sabah dan Sarawak menyukarkan pihak kementerian untuk membuat pemantauan.

"Penggunaan dron ini masih dalam peringkat cadangan namun, saya berharap ia dapat dilaksanakan dalam usaha untuk memudahkan kita mengetahui keperluan dan membuat siasatan lebih lanjut.

"Selain itu, penggunaan alat itu juga berupaya membantu kerajaan untuk melengkapkan data melalui profil kampung yang kini sudah siap sebanyak 80 peratus dan ia merupakan input utama untuk  perancangan di kawasan desa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melancarkan Hari Inovasi Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) 2018 di KPLB di sini hari ini.

Sementara itu, Rina berkata, program Desa Harapan yang merupakan satu inisiatif julung kalinya oleh kerajaan bagi meningkatkan sosioekonomi luar bandar dan mendapat kerjasama sektor swasta.

Jelasnya, pihak swasta telah memberikan maklum balas positif untuk bekerjasama dengan kerajaan dalam membantu membangunkan taraf kehidupan masyarakat desa.

"Program berkenaan yang bakal dilancarkan pada pertengahan bulan ini bukan sahaja melibatkan soal ekonomi namun, ia juga merangkumi pendidikan dan keusahawanan.

"Ini merupakan kerjasama pertama sektor swasta dan kerajaan untuk berganding bahu bersama mempertingkatkan keupayaan masyarakat luar bandar," katanya. - K! ONLINE