Desakan itu dibangkitkan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Abu Bakar Yahya yang menganggap tindakan Dong Zong merancang membuat petisyen menolak pelaksanaan usaha berkenaan didapati tidak berasas selain mengundang prasangka serta kebencian antara kaum di negara ini. 

Katanya, sebagai sebuah persatuan yang mewakili institusi pendidikan vernakular, Dong Zong sepatutnya cukup memahami bahawa tulisan Jawi dan Khat itu adalah sebahagian daripada pembelajaran Bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi Persekutuan serta bahasa perpaduan semua kaum di Malaysia. 

Malah, usaha kerajaan itu tegas Abu Bakar tidak ada sangkut-paut dengan penyebaran agama Islam kepada para pelajar sekolah daripada bukan Islam sebagaimana yang cuba dimomokkan oleh Dong Zong. 

"Bagaimanapun, Dong Zong memilih untuk bersikap rasis dalam isu ini (tulisan Jawi dan seni Khat) dan menolak sejarah serta nilai Bahasa Melayu itu sendiri. Malah, Dong Zong juga seolah-olah cuba menghasut bukan Melayu kononnya langkah itu merupakan satu bentuk Islamisasi. 

"Pada pandangan saya, sikap Dong Zong seolah-olah cuba mengagalkan matlamat memupuk perpaduan kaum di negara ini. Jika tidak, wajar bagi Dong Zong memberikan penjelasan sebenar di sebalik tindakan mereka itu," katanya di sini hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan Dong Zong sebagai rasis kerana tidak pernah bersetuju dengan apa jua keputusan kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, Dong Zong sejak dahulu lagi sering membantah termasuk ketika kerajaan mewujudkan Sekolah Wawasan yang menggabungkan Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Dalam perkembangan lain, Abu Bakar turut membidas kenyataan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago yang yang menuduh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kononnya membuat keputusan bersendirian berkaitan dengan pentadbiran kerajaan termasuklah dalam isu tulisan Jawi dan khat di sekolah. 

Menurutnya, tindakan Charles itu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi turut menunjukkan dirinya gagal memahami cara pentadbiran kerajaan yang mana sebarang keputusan adalah melalui mesyuarat Jemaah Menteri. 

"Malah di peringkat parti pula, sesuatu keputusan dibincang dan diputuskan melalui mesyuarat Majlis Pimpinan Presiden (MPP) Pakatan Harapan. Mengapa beliau (Charles) tidak membuat kajian atau merujuk kepada pimpinan DAP terlebih dahulu sebelum membuat tuduhan semberono terhadap Perdana Menteri?. 

"Bagi saya tindakan beliau itu amat biadap. Beliau perlu memohon maaf kepada Perdana Menteri," ujar Abu Bakar yang juga Setiausaha Politik kepada Dr. Mahathir. 

Untuk rekod, Charles dalam satu catatan di laman Facebook rasminya semalam dilapor menuduh Perdana Menteri seolah-olah membuat keputusan secara bersendirian walaupun datang dari parti yang dikira minoriti dalam Pakatan Harapan. - K! ONLINE