Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Selangor, Superintendan Azman Shari’at berkata, mangsa, Noor Izham Ismail, 40, yang juga merupakan pensyarah di Universiti Teknologi Mara Sungai Buloh dalam perjalanan ke tempat kerjanya kira-kira pukul 8.20 pagi.

“Motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang dipandu mangsa disyaki telah terbabas lalu melanggar tiang lampu jalan di tempat kejadian.

“Akibat perlanggaran tersebut, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepalanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azman menambah, mangsa seterusnya dibawa ke Hospital Sungai Buloh di sini untuk menerima rawatan lanjut dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9.50 pagi oleh pegawai perubatan.

“Sebab kematian Noor Izham adalah kecederaan pada kepala disebabkan kemalangan motosikal.

“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku di jalan lurus dua hala. Keadaan permukaan jalan ketika itu adalah kering dan tiada sebarang televisyen litar tertutup (CCTV) atau saksi bebas dikesan,” ujarnya.

Menurutnya lagi, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut berkaitan kemalangan itu boleh menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Hasanal Hasif Johari di talian 019-2264650. - K! ONLINE