Menteri Kesihatan, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagaimanapun cuti tersebut hanya diberikan sekiranya mereka mengikuti misi itu bersama NGO yang diiktiraf dan berdaftar sahaja seperti Humanitarian Care Malaysia (MyCare).

"Polisi berkaitannya sememang ada dalam memudahkan mereka menyalurkan khidmat kepakaran mereka. 

"Kita sedia maklum keadaan di Gaza kini terdapat lebih 6,000 orang pesakit menunggu untuk mendapatkan rawatan pembedahan dan rawatan segera,"katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dana Medical4Gaza Econsave-MyCare di sini hari ini. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MyCare, Kamarul Zaman Shahrul Anwar dan Pengurus Besar Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam.

Seramai 60 orang tenaga pakar dari negara ini akan dihantar secara berperingkat ke Semenanjung Gaza dan akan berkhidmat selama 10 hingga 15 hari bermula April ini.

Mengulas lanjut mengenai misi kemanusian tersebut, Dzulkefly menjelaskan pertemuan bersama Menteri Kesihatan Palestin di Gaza telah diadakan sebelum ini yang turut meliputi dalam mengenal pasti bentuk bantuan yang diperlukan di Gaza.

"Situasi di Gaza tidak memerlukan kita menubuhkan hospital medan, tetapi keperluan mereka di sana adalah dari segi peralatan di hospital dimana peralatan mereka tidak mencukupi dan terlalu uzur serta bekalan ubat-ubatan,"katanya. - K! ONLINE