Penahanan kedua-dua suspek berusia 45 tahun itu dilakukan pukul 7.30 pagi oleh Pasukan Polis Marin (PPM) menerusi Ops Pintasan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Khairuddin Jamal berkata, ketika kejadian didapati kedua-dua warga Myanmar itu yang menaiki sampan tidak bernombor sedang melakukan aktiviti penangkapan menggunakan pukat bubu naga.

Katanya, difahamkan pukat bubu naga yang mempunyai banyak injap dan bermata kecil itu boleh dipasang mencecah kedalaman sehingga 30 meter dan sejauh 9.1 meter.

Ia sekali gus boleh memusnahkan ekosistem dan sumber hasil laut dalam jangka masa panjang malah menjejaskan pendapatan nelayan.

"Kita turut merampas 24 rawan pukat bubu naga, sampan serta kira-kira 30 kilogram ikan yang kesemua dianggarkan bernilai RM20,700.

"Semakan awal mendapati kedua-dua warga Myanmar itu mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan telah dibawa ke Jeti Perikanan Kuala Selangor untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Jelas beliau, hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek memasang pukat bubu naga itu bermula awal pagi bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Ujar Khairuddin, mereka juga didapati aktif sejak setahun lalu dan dipercayai diupah pihak tertentu sebelum menjualnya kepada peraih.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengetahui dalang utama yang mengupah mereka dan kes disiasat mengikut Akta Perikanan 1985," katanya. - K! ONLINE