Dalam kejadian pada pukul 6.30 pagi itu, suspek berusia 39 tahun disyaki memecah masuk stesen minyak tersebut sebelum melarikan mesin tunai yang mengandungi wang tunai RM100.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lelaki itu juga dipercayai turut melarikan sebuah tabung derma mengandungi wang tunai kira-kira RM50 yang diletakkan di kaunter pembayaran stesen minyak berkenaan.

"Kejadian pecah masuk stesen minyak itu disedari salah seorang pekerja sewaktu membuka operasinya pada pagi kelmarin sebelum memaklumkannya kepada Pengerusi Koperasi Felda Neram 2 sebelum laporan polis dibuat.

"Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang dipasang di stesen minyak tersebut mendapati kelibat suspek yang melakukan kegiatan jenayah terbabit," katanya kepada Kosmo! Online di sini hari ini.

Hanyan berkata, berpandukan bukti berkenaan, sepasukan polis telah menyerbu sebuah rumah di Felda Neram 2 yang membawa kepada penahanan suspek pada pukul 12.10 tengah malam semalam. - K! ONLINE