Pengarah  Eksekutif ANIH Berhad Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata diskaun untuk semua kelas kenderaan itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 24 jam bermula jam 12 tengah malam hingga jam 11.59 malam pada 25 Disember.

 "Inisiatif memberikan diskaun tol menjelang semua jenis perayaan utama di negara ini, yang diperkenalkan sejak 2011, adalah sebagai tanda terima kasih syarikat kepada semua pengguna KLK dan LPT 1," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata ANIH Berhad turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) sebagai rujukan pengguna merancang perjalanan pulang ke Pantai Timur sempena cuti perayaan Krimas.

Langkah itu dilakukan bagi menyuraikan trafik dan mengurangkan kenderaan bertembung pada waktu puncak di plaza tol khususnya di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong dan Plaza Tol Karak.

waktu-waktu puncak di mana trafik dijangka membanjiri Lebuhraya KLK (amp) LPT 1 sempena cuti Natal adalah pada 23 Dis iaitu mulai 11 pagi hingga 1 petang (untuk trafik menghala ke Pantai Timur) dan pada 25 Dis, antara 3 hingga 6 petang (untuk trafik menghala ke Kuala Lumpur).

"Sehubungan itu, kami menyarankan pengguna yang ingin menuju ke Pahang pada 23 Dis untuk masuk ke lebuhraya sama ada pada 12 tengah hari hingga 3 petang atau antara 7 hingga 11 malam.

 "Pengguna yang ingin menuju ke Terengganu dan Kelantan pada tarikh sama pula boleh memulakan perjalanan antara 6 hingga 10 pagi atau 5 petang hingga 8 malam," katanya. 

Nik Fauzi berkata untuk kembali semula ke ibu kota pada 25 Disember, pengguna dari Pahang boleh memilih sama ada untuk memulakan perjalanan antara 6 hingga 10 pagi atau antara 7 petang hingga 11 malam.

Pada tarikh yang sama, pengguna dari Terengganu pula disarankan untuk memasuki lebuh raya antara 8 hingga 11 pagi atau antara 8 hingga 10 malam, manakala pengguna dari Kelantan boleh menggunakan lebuh raya bermula 6 petang hingga 10 malam atau antara 9 malam hingga 12 tengah malam.  

Seperti musim perayaan sebelum ini, pengguna ke pantai timur boleh mendapatkan jadual TTA di laman web ANIH Berhad atau mengikuti Twitter @LPTTrafik dan Facebook Lebuhraya Pantai Timur.

Selain itu, Pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1 juga dinasihatkan sentiasa memastikan baki kad Touch 'n Go (TnG) mencukupi sebelum memulakan perjalanan berikutan kedua-dua lebuh raya berkenaan telah melaksanakan kaedah pembayaran tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya.

"Perkhidmatan tambah nilai kad di lorong tol akan ditutup sekiranya trafik mulai padat bagi mengelak berlakunya kesesakan di plaza tol dan sekiranya  ingin membuat tambah nilai atau membeli kad TnG, pengguna boleh melakukannya di Pusat Khidmat Pelanggan (PKP) di sepanjang KLK  dan LPT 1 iaitu di Plaza Tol Gombak, Plaza Tol Bentong, Plaza Tol Karak, Plaza Tol Temerloh dan Plaza Tol Kuantan.

"Perkhidmatan itu bermula dari 7 pagi hingga 10 malam setiap hari dan tambah nilai juga boleh dilakukan di kios layan diri di Hentian Sebelah Gombak (arah barat), Kawasan Rehat (&) Rawat (R&R) Genting Sempah, R&R Temerloh (arah Timur dan Barat) dan di Plaza Tol Gambang," katanya. - Bernama