Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, mangsa mula berurusan dengan suspek pada 14 Ogos lalu.

"Selepas melihat iklan di Facebook, pengadu yang berusia 38 tahun itu menghubungi suspek untuk bertanya mengenai Toyota Hilux terpakai yang ditawar pada harga RM20,000.

"Pengadu membuat bayaran pada harga dipersetujui sebanyak RM17,060 melalui beberapa transaksi antara tempoh 15 Ogos hingga 21 Ogos lalu," katanya.

Ujar beliau lagi, mangsa memaklumkan kepada suspek mengenai bayaran tersebut, namun diberikan pelbagai alasan.

Tambah Mohd. Wazir, mangsa akhirnya berjumpa dengan suspek di rumahnya di Felda Tersang 3 dekat Raub untuk menuntut wangnya kembali.

"Dia (suspek) beritahu kepada pengadu, sekiranya mahu wangnya dikembalikan, pengadu akan dikejar oleh kongsi gelap," katanya.

Mangsa membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuantan di sini semalam selepas berasa tertipu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. - K! ONLINE