Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, meskipun tiada bentuk hukuman yang boleh dikenakan terhadap ibu bapa atau penjaga yang gagal mendapatkan imunisasi pada anak-anak mereka, namun mereka perlu sedar impak yang bakal diterima oleh anak-anak khususnya yang berusia tujuh tahun ke bawah.

"Tahun lepas, sebanyak 32 kes positif difteria dilaporkan di seluruh negara dan membabitkan tujuh kematian... lebih membimbangkan, kesemua kes kematian berkenaan disebabkan oleh kedegilan sesetengah komuniti yang enggan dan tidak percaya pada suntikan vaksin pada anak-anak mereka.

Jika kita tak dapat vaksin, besar kemungkinan kita akan dijangkiti  penyakit tersebut yang juga boleh membawa maut. Jadi, kita galakkan ibu bapa untuk vaksinkan anak masing-masing, dapatkan pelalian sebagaimana mengikut jadual yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada majlis perasmian Fiesta Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Mesra Rakyat yang dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam di Padang Awam Jementah di sini hari ini. - Bernama