Selepas keputusan itu keluar di sekolah anak masing-masing di seluruh negara, mereka juga memuat naik perasaan gembira dengan kejayaan anak dalam ujian tersebut. Sehubungan itu, penulis ingin mengucapkan tahniah kepada mereka dan pada semua ibu bapa termasuk anak-anak mereka yang mencatat keputusan cemerlang.

Bagaimanapun, bagi anak-anak yang memperoleh keputusan yang kurang memuaskan, ibu bapa dinasihatkan terus memberi galakkan dan kata-kata semangat kerana perjalanan hidup mereka masih jauh. Kegagalan tersebut boleh dijadikan batu lonjakan untuk lebih berjaya pada masa hadapan.

Pada tahun ini, seramai 425,251 calon menduduki PT3 dan tiada pengumuman rasmi dibuat mengenai prestasi peperiksaan itu antaranya peratusan pelajar mendapat keputusan cemerlang dan perbandingan antara sekolah-sekolah terbaik seperti lazimnya.

Ini berikutan keputusan PT3 adalah sebahagian daripada komponen Pentaksiran Berasaskan Sekolah dan peperiksaan itu dimulakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah.

Dalam pada itu, sekolah-sekolah di seluruh negara mulai menjadi tumpuan minggu ini apabila ibu bapa dan penjaga mulai membuat persiapan untuk sesi persekolahan tahun hadapan. Koperasi sekolah mula sibuk dengan ibu bapa dan anak-anak membuat pilihan dan senarai barang yang perlu dibeli.

Tindakan awal itu patut dipuji kerana pada minggu akhir sebelum persekolahan baharu dibuka keadaan koperasi sekolah pasti sesak. Ketika ini, ibu bapa dan anak-anak dapat membuat pilihan barang yang penting untuk dibeli daripada senarai yang dikeluarkan oleh pihak sekolah.

Dianggarkan, berdasarkan senarai yang dikeluarkan pihak sekolah anak saya, perbelanjaan itu boleh mencecah RM300 seorang. Bagaimanapun, tidak semua barang perlu dibeli. Ibu bapa boleh mendapatkan pandangan guru atau pekerja koperasi untuk membeli keperluan yang lebih mustahak seperti buku tulis dan buku rampaian.

Bagi anak penulis yang memasuki darjah dua dan empat tahun hadapan, setiap seorang tidak sampai RM100. Bagi tahun satu atau enam, kadar tersebut mungkin lebih tinggi kerana perlu membeli baju sukan atau buku rampaian bagi persediaan menghadapi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah.

Di sebalik keghairahan, membuat persediaan membeli kelengkapan anak-anak bersekolah, penulis ingin mengajak semua pembaca untuk melihat rakan-rakan, saudara-mara atau jiran yang berhadapan masalah kewangan. Apa salahnya, kita mengambil peluang cuti persekolahan akhir tahun ini untuk berkunjung ke rumah mereka.

Selain dapat mengeratkan hubungan silaturahim, kita dapat mengetahui keadaan keluarga mereka. Bagi yang mempunyai ramai anak yang bersekolah, apa kata hulurkan bantuan sedikit bagi meringankan kewangan mereka seperti membelikan pakaian seragam baharu atau membayar pembelian buku sekolah.

Dalam kalangan kita juga, pasti terdapat mereka yang kesempitan wang terutamanya jika ketua keluarga tidak mampu bekerja atas faktor kesihatan atau perlu menanggung perubatan anak-anak yang mengalami penyakit tertentu. Diharap­kan sumbangan dan sedekah ikhlas anda mendapat ganjaran pahala dan dibalas rezeki berlipat kali ganda oleh Allah SWT.

Malah, ingatlah wahai kaum Muslimin bahawa amalan bersedekah tidak akan mengurangkan harta, sebaliknya akan menambah harta dan menjauhkan kekurangan dan kesempitan sepertimana firman Allah dalam Surah Saba’ ayat 39 yang bermaksud: “Katakanlah wahai Muhammad sesungguhnya Tuhan-Ku memewahkan rezeki bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya di antara hamba-hamba-Nya dan Ia juga yang menyempitkan baginya dan apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya dan Dialah jua sebaik-baik pemberi rezeki.”