Majistret Raja Noor Adilla Raja Mahyaldin menjatuhkan hukuman tersebut selepas Jamal, 48, menukar pe­ngakuan bersalah pada sebutan kali ketiga kes berkenaan semalam.

Mahkamah turut memerintahkan Jamal yang juga Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Selangor menjalani hukuman penjara sebulan jika gagal membayar denda. Jamal membayar denda tersebut.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di hadapan pintu pagar keluar pos (1), bangunan SUK, Shah Alam pada pukul 10.15 pagi, 5 Oktober 2017 mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM400.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amirah Haziqah Zulkifli manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Mohd. Imran Tamrin.

Jamal dalam mitigasinya memberitahu, tindakannya membuat gimik memecahkan botol arak berkenaan atas kapasiti Pengerusi NGO-NGO Selangor dan tujuannya bagi membantah kelulusan yang diberikan kerajaan negeri berhubung penganjuran pesta arak, OktoberFest.

“Mengikut penilaian dan tinjauan kaji selidik yang dijalankan, banyak perkara buruk berlaku antaranya mengganggu ketenteraman awam, kemalangan terhadap mereka yang menghadiri pesta sedemikian.

“Oleh itu kami membantah penganjuran tersebut. Saya mengaku bersalah dan meminta maaf. Apa yang saya buat mungkin menyusahkan orang ramai tetapi tiada niat untuk membuat huru-hara,” kata Jamal.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.