Tertuduh, Tee Kai Hong, 39, membuat pengakuan tersebut selepas keempat-empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rofiah Mohamad. 

Kai Hong juga berdepan penjara sehingga 46 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut. 

Turut didenda adalah tiga pekerjanya iaitu Hossain Asique, 31, sebanyak RM17,124 dan Mofijur Rahman, 25, (RM5,312) yang merupakan warga Bangladesh serta M. Shanmugam, 45, sebanyak RM6,909 apabila mereka turut membuat pengakuan bersalah. 

Sekiranya gagal membayar, mereka boleh dipenjara masing-masing selama 17 bulan dan sembilan bulan. 

Berdasarkan pertuduhan, Kai Hong dan Hossain Asique masing-masing didakwa atas dua pertuduhan bersama telah mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan pembekalan suatu perihal dagangan palsu iaitu minyak pelincir jenama Castrol sebanyak 744 botol dan 4,716 botol jenama Shell. 

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah gudang tidak bernombor di Jalan Rasah, Pandamaran, Pelabuhan Klang pukul 10.50 pagi pada 15 Mac lalu. 

Kai Hong turut berdepan dua lagi pertuduhan bersama Mofijur dan Shanmugam yang merupakan mekanik memiliki minyak pelincir tiruan masing-masing jenama Castrol Limited sebanyak 337 botol dan 646 botol jenama Shell Brands.

Kesalahan itu dilakukan mereka di sebuah bengkel motor di Jalan Tengku Badar, Pelabuhan Klang pukul 10.40 pagi pada 15 Mac lalu. 

Mengikut kesemua pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 8 (2)(c) Akta Perihal Dagangan 2011 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 (2)(B) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali. 

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Nurul Addha Kasmon memohon hukuman setimpal bagi melindungi hak pengguna dan cap dagang dalam jenayah barangan tiruan. 

"Minyak pelincir motosikal tiruan ini boleh memberikan kesan terhadap pengguna sekiranya dijual secara berleluasa. 

"Walaupun tiada lagi laporan kesan minyak pelincir itu namun ini bagi melindungi hak pengguna dan menggunakan cap dagang tanpa kelulusan adalah salah," katanya. 

Sementara itu, Peguam Loh Choy Luey mewakili kesemua tertuduh memohon hukuman diringankan susulan kesalahan pertama dengan mereka kini insaf dan lebih prihatin terhadap penggunaan cap dagang. - K! ONLINE