Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd. Zani Che Din berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 10 pagi sewaktu mangsa yang sedang berjalan kaki seorang diri dihampiri oleh dua lelaki bermotosikal.

"Kedua-dua suspek kemudiannya bertindak menyamun mangsa dan melarikan telefon bimbit milik buruh binaan tersebut.

"Dua suspek tersebut kemudiannya bertindak melarikan diri dengan menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR namun telah terserempak dengan sebuah kereta peronda polis (MPV) yang sedang melakukan rondaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Mohd. Zani, pemeriksaan yang dilakukan ke atas kedua-dua suspek berusia 18 dan 21 tahun itu telah menemui telefon bimbit milik mangsa yang disamun.

"Semakan yang dilakukan pula mendapati suspek berusia 21 tahun itu mempunyai tiga rekod jenayah lampau membabitkan ketum, samun dan pecah rumah.

"Anggota bertugas kemudiannya bertindak menahan kedua-dua suspek dan melakukan rampasan ke atas telefon bimbit milik mangsa serta motosikal ditunggang suspek," katanya.

Jelas Mohd. Zani, kes disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun berkumpulan. - K! ONLINE