Seorang lelaki dipukul di sebuah pusat hiburan di The Scott Garden, Jalan Klang Lama di sini pada Sabtu lalu.

Kejadian pada pukul 3.15 pagi itu dipercayai tercetus apabila mangsa yang berusia 34 tahun terlanggar bahu seorang pe­ngunjung ketika berhibur di pusat hiburan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Se­nior Asisten Komisioner Rusdi Mohd. Isa berkata, ekoran pe­langgaran itu berlaku perselisihan faham antara mangsa dan suspek.

Suspek bersama rakan-rakannya kemudian memukul mangsa dan pergaduhan itu berlarutan ke luar pusat hiburan hingga tular dalam laman sosial.

“Ekoran kejadian itu, mangsa yang mengalami kecederaan pada kepala membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Menurut Rusdi, bertindak atas maklumat, pihaknya menahan 10 lelaki berusia 15 hingga 37 tahun yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan tersebut.

Kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan merusuh.