Selain promosi besar-besaran oleh Biro Pelancongan Taiwan, penulis percaya personaliti pelakon, pengacara, usahawan dan model yang jelita, ceria dan positif itu juga sedikit sebanyak berjaya mempengaruhi 3.8 juta pengikutnya di Instagram.

Video kempen Salam Taiwan berdurasi 1 minit 23 saat itu meskipun ringkas tetapi padat. Ia mengisahkan keterujaan Mira Filzah bersama tiga rakan wanitanya yang bercuti di Taiwan sambil menikmati makanan halal di beberapa buah restoran, berkunjung ke Masjid Besar Taipei dan kemudiannya ke Taman Negara Yangmingshan.

Percutian seakan sempurna apabila kesemuanya gembira dengan aktiviti membeli-belah dan mencabar adrenalin di beberapa buah taman tema terkemuka. Keseronokan mereka bersiar-siar di Taiwan mampu memancing hati pengunjung yang belum pernah ke sana.

Ternyata, kesungguhan Biro Pelancongan Taiwan mempromosi pelancongan Muslim di pulau yang berkeluasan sekitar 36,197 kilometer persegi itu te­lah memberi perspektif baharu tentang Taiwan.

Jika sebelum ini ramai yang mungkin tidak ambil kisah, jauh sekali menyenaraikan Taiwan sebagai salah sebuah destinasi percutian yang harus dikunjungi, hakikatnya wilayah yang memiliki penduduk Muslim minoriti itu telah menerima lebih daripada 530,000 pelawat dari Malaysia dan Brunei sejak dua tahun lalu. Daripada jumlah tersebut lebih 10 peratus pelancong adalah Muslim.

Bagi memudahkan pergerakan pelancong Muslim, aplikasi Tour Taiwan dan Halal-TW diperkenalkan untuk mereka mencari kedai halal, waktu solat, masjid dan ruang solat selain maklumat mengenai pe­ngangkutan dan penginapan.

Pendek kata, pelawat Muslim tidak perlu bersusah payah untuk menikmati percutian hebat di Taiwan kerana segala-gala­nya ada di hujung jari.

Dalam satu kunjungan wakil-wakil media Malaysia ke Taiwan baru-baru ini melayan pelancong Muslim tanpa diskriminasi gender.

Ia adalah satu pengalaman yang sangat berbeza ketika penulis berada di beberapa buah negara Eropah yang memberi layanan kelas kedua kepada wanita berhijab. Selain diasak dengan pelbagai soalan seperti seorang penjenayah ketika tiba di pintu masuk negara itu, jika tidak bernasib baik mereka hanya acuh tak acuh jika bertanya tentang arah sesuatu tempat.

Justeru, bukanlah sesuatu yang mengejutkan apabila Taiwan begitu pantas menjadi salah satu destinasi paling po­pular dan kelima ka­tegori bukan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dalam Indeks Pelancongan Muslim Global (GMTI).

Sepanjang kembara rombongan media di Taiwan, kami turut ditemani seorang pemandu pelancong wanita berusia setengah abad yang dikenali sebagai Rita. Rita, seorang penganut agama Kristian yang berkecimpung lebih 15 tahun dalam dunia pelancongan di negaranya mengakui dia begitu selesa mengurus dan mengendalikan pelancong muslim. Mengendalikan pelancong Muslim bermakna Rita banyak membuat penyelidikan tentang agama Islam dan rujukan dengan imam-imam masjid di Taipei.

“Saya tahu sebagai seorang Muslim, anda semua kena solat lima kali sehari,” katanya mengingatkan kami. Dia juga begitu mahir memeriksa arah kiblat di setiap ruang solat yang disediakan menghadap ke arah yang betul.

Sebagai pelancong Muslim yang berkunjung ke negara majoritinya adalah penganut Buddha dan Taois, ia satu tanggungjawab berat dan cabaran kepada penulis.

Pertama, kita perlu memberi respons yang betul terhadap fasiliti yang disediakan ketika bermusafir seperti musola. Misalnya, jika sudah masuk waktu solat, sebaik-baiknya tunaikan solat pada waktunya.

Kedua, bersedia jika diasak dengan pelbagai persoalan tentang Islam kerana mereka sa­ngat berminat mengetahuinya.

Ketiga, setiap tutur kata, tingkah laku dan cara kita membawa diri sentiasa diperhatikan. Justeru, duta sebenar dalam mempromosi agama Islam terletak pada setiap individu yang mengakui dirinya Muslim.