Ketika itu penulis berasa kagum dengan senario baharu kedai-kedai gun­ting rambut yang wujud di hampir setiap pelusuk kawasan, jauh berbeza berbanding ketika penulis bertugas di negeri Darul Iman sekitar 15 tahun lalu.

Kedai tersebut bukan sahaja kelihatan menarik, bersih dan selesa, malah mempunyai ciri-ciri hipster, meminjam istilah generasi WeChat (orang di Dewan Bahasa dan Pustaka belum ada penjelasan mengenai hipster).

Apabila berjalan-jalan di Kuala Terengganu juga penulis lihat kebanyakan generasi muda berambut pendek, kemas dan segak. Tidak diketahui apakah suasana se­perti itu kerana ada kedai gunting yang bagus atau sekadar tren­ding de­ngan gaya poto­ngan rambut slope atau pompadour menyebabkan wujudnya permintaan terhadap kedai gunting hipster.

Namun, ketika berkunjung ke Pulau Pinang baru-baru ini, anak penulis meminta izin untuk singgah menggunting rambut di sebuah kedai kegemarannya sebelum pulang ke ibu negara. Saya bertanya mengapa di sini, bukankah di Kuala Lumpur begitu banyak kedai gunting? Tidak, katanya, kepuasan hasil guntingan berbeza.

Tukang gunting di Kuala Lumpur rata-rata pekerja asing. Mereka gunting sesuka hati sahaja, cakap kita pun dia tak faham, jelas anak saya.

Sememangnya itulah rea­liti di ibu negara. Kepada yang tidak berkira mengenai fesyen terkini, teknik dan harga, mereka ini suka atau tidak ‘terpaksa’ berkunjung ke kedai gun­ting yang rata-rata­nya menggaji tukang-tukang gunting warga asing.

Kedai-kedai ini pula pastinya mengikut cita rasa pemilik atau pekerja tersebut, ada bermacam-macam ragam. Pernah penulis hampir sesak nafas apabila asap colok memenuhi ruang kedai! Itu belum lagi insiden bercakap umpama ayam dan itik, rupa-rupanya tukang gun­ting itu baru seminggu tiba di Malaysia. Begitu juga kejadian mengerikan ketika sesi ‘mematahkan’ tulang leher.

Berbalik kepada senario tukang gunting tadi, saya melihat di Pulau Pinang juga wujud banyak kedai-kedai bumiputera yang trending serta mampu memenuhi gaya fade, taper, classic cut dan rock n’ roll yang pasti mampu menarik golongan muda.

Tinjauan mendapati kedai-kedai tersebut mendapat sambutan baik. Saya yakin jika perkhidmatan yang ditawarkan memuaskan hati pelanggan, mereka akan kembali mengun­jungi kedai tersebut.

Malangnya, di ibu negara, amat kurang sekali tukang-tukang gun­ting bumiputera ini yang mahu mengusahakan kedai mereka. Keadaan itu menyebabkan kedai-kedai gunting terus dikuasai oleh warga asing.

Saya fikir tiba masanya, pihak-pihak berkaitan mewujudkan inisiatif bagi menarik golongan muda yang berkemahiran membuka barber shop di Lembah Klang.

Mungkin ada yang selesa bekerja dan tinggal di bandar kela­hiran sendiri atau mungkin juga tidak mempunyai keyakinan untuk bersaing di ibu negara.

Saya percaya jika kita menyelesaikan beberapa halangan, kita mampu mewujudkan rangkaian barber shop bumiputera yang berdaya saing di Kuala Lumpur.

Kita faham membuka perniagaan di ibu negara bukan mudah. Namun, jika ada peluang, lebih banyak kedai gun­ting bumiputera mampu bertapak di Kuala Lumpur yang kini hampir mencecah 7.8 juta penduduk.

Ayuh orang muda, sahutlah cabaran untuk membuka empayar kedai gunting bagi memenuhi permintaan fesyen rambut terkini di atas platform anak muda Melayu dan bumiputera yang berjaya.