Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, bagi tujuan itu, India merupakan antara negara sasaran memandangkan bilangan pelancongnya yang ramai berkunjung ke Malaysia.

"Pelancong dari India memang sasaran kita kerana kita menerima kira-kira 600,000 pengunjung dari negara itu (setahun), dan kita sasarkan pada tahun hadapan dan 2020 ia boleh mencecah 700,000 pelancong," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Dr. Zaiedi Suhaili yang ingin tahu apakah langkah yang dibuat untuk terus menarik kedatangan pelancong asing ke Malaysia, pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Menurutnya, antara lokasi yang boleh terus dipromosikan bagi penganjuran majlis perkahwinan untuk  pelancong ialah hotel-hotel di sekitar Langkawi.

Muhammad Bakhtiar menarik perhatian bahawa penduduk India dilihat amat memberi tumpuan kepada majlis perkahwinan dan banyak yang dilakukan secara besar-besaran melibatkan acara hiburan dan penyediaan juadah oleh chef khas. - Bernama