Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Levi Pelepasan 2019 untuk bacaan kali kedua bagaimanapun menegaskan bahawa levi itu hanya akan dikenakan kepada mereka yang menggunakan pengangkutan udara sahaja.

Beliau berkata, ini termasuk melibatkan jet peribadi atau helikopter, sama ada secara sewa khas ataupun 'chartered'.

"Pengecualian akan dikenakan kepada orang yang meninggalkan Malaysia dengan berjalan kaki atau memandu sendiri kenderaan, seperti motosikal, kereta, (menaiki) bot, feri, memandu sendiri kapal terbang atau anak kapal ataupun krew kabin yang sedang bertugas." katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini sebelum RUU berkenaan diluluskan dengan suara majoriti.

Beliau berkata, kadar levi dicadang adalah RM20 bagi mereka yang keluar ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain, namun terdapat cadangan agar kadar itu disemak agar lebih bersifat adil, umpamanya mengambil kira kelas penerbangan penumpang. - Bernama