Penggunaan hashtag itu menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan penyokong kerajaan dan menganggap perkataan yang digunakan Idris (BN-Sungai Udang) boleh menjejaskan imej serta membawa persepsi buruk rakyat terhadap kepemimpinan negeri ketika ini.

"Sepatutnya kita bersama-sama berganding bahu menjaga kebersihan negeri dan membuat aduan terus kepada agensi atau jabatan yang berkenaan, bukannya mengadu di media sosial kerana saya sudah semak dengan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), namum tiada satu aduan dari YB Sungai Udang direkodkan,” kata Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Tey Kok Kiew ketika menggulung perbahasan.

Idris kemudian mempertahankan tindakannya itu dan menyatakan setiap isu yang dimuat naik di laman Facebook itu sudah diajukan ke jabatan berkaitan menerusi panggilan telefon, namun tiada jawapan.

"Tanya ketua jabatan berapa kali saya buat panggilan telefon secara terus kepada mereka.

“Saya mewakili rakyat Sungai Udang akan tetap teruskan cara ini untuk kepentingan mereka," kata Idris sebelum berlaku pertikaman lidah antara beberapa Exco negeri termasuk Norhizam Hassan Baktee (PH-Pengkalan Batu) dan Ginie Lim (PH-Machap Jaya) dengan pembangkang.

Keadaan menjadi bertambah gamat apabila wakil pembangkang bangun mempertahankan Idris termasuklah Datuk Amirudin Yusof (BN-Ayer Limau) dan Datuk Sulaiman Md Ali (BN-Lendu).

Speaker DUN, Datuk Wira Omar Jaafar kemudian mengambil tindakan menangguhkan persidangan kira-kira seminit sebelum Kok Kiew meneruskan ucapan penggulungannya.

Pada Selasa, kekecohan berlaku apabila Norhizam, yang juga Exco Jawatankuasa Pertanian, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Industri Asas Tani negeri, menyebut ungkapan “UMNO mati meninggalkan hutang” ketika sidang dewan. - Bernama